SEPANG – Wisma Putra hari ini berjaya dalam misi menyelamat dan membawa pulang 24 rakyat Malaysia ke tanah air selepas menjadi mangsa penipuan skim pekerjaan dan pelancongan di Kemboja sejak dua bulan lepas.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, bagaimanapun tiga lagi daripada mereka masih berada di Depoh Tahanan Imigresen di Phnom Penh ketika ini.
“Seramai tiga rakyat Malaysia terus berada di Depoh Tahanan Imigresen untuk tempoh tiga hingga enam bulan sebelum menjalani proses penghantaran pulang ke Malaysia.
“Saya juga mengambil kesempatan melawat tiga warganegara Malaysia yang masih ditahan di Depoh Tahanan Imigresen di sana untuk mengetahui keadaan sebenar dan kebajikan mereka.
“Kesemua mereka berada dalam keadaan baik dan tidak sabar untuk bertemu dengan ahli keluarga masing-masing,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) petang tadi.
Terdahulu, Saifuddin membawa bersamanya seramai 24 warganegara Malaysia yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja selamat tiba dengan penerbangan AirAsia AK539 di Balai Ketibaan klia2 kira-kira pukul 5.40 petang.
Turut sama mengiringi kesemua mangsa pulang ialah Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim.

Misi menyelamat itu susulan lawatan kerja singkat Saifuddin ke Phnom Penh sejak semalam dan beliau telah bertemu kesemua mangsa di penginapan transit yang disediakan Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh.
Pihak kedutaan Malaysia di sana telah memastikan kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa terjaga sementara menunggu proses penghantaran pulang.
Sebelum ini, pihak berkuasa Kemboja telah membuat operasi awal Ogos lalu secara besar-besaran untuk memerangi sindiket pemerdagangan manusia, penipuan perjudian dan pekerjaan terutamanya di wilayah Sihanoukville, Kemboja.
Tambah Saifuddin, kesemua 24 individu itu sebahagian dari 148 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan itu sejak Julai lalu.
“Mereka telah berada di Kemboja selama dua bulan lalu kerana ditipu oleh sindiket yang mengiklankan peluang pekerjaan melalui media sosial,” katanya.
Jelasnya, baki 29 warganegara Malaysia lagi sedang menjalani tahanan di depoh Imigresen Kemboja kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah ketika memasuki negara berkenaan.
“Mereka akan dihantar pulang secara berperingkat, tertakluk kepada prosedur serta perundangan sedia ada Kemboja,” katanya.
Saifuddin turut merakamkan penghargaan Perdana Menteri, Hun Sen kerana telah mengarahkan pihak berkuasa Kemboja membanteras kegiatan sindiket pemerdagangan manusia, penipuan perjudian dan pekerjaan ini secara besar-besaran.
“Saya juga telah menyampaikan penghargaan saya kepada Timbalan Perdana Menteri Kemboja yang juga Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, TYT Prak Sokhonn melalui satu panggilan yang telah dibuat sebelum saya berlepas ke Malaysia sebentar tadi.
“Beliau menzahirkan rasa syukur dengan kepulangan rakyat Malaysia ke tanah air dan akan memastikan sindiket ini akan terus diperangi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















