Mantan Naib Presiden MIC, Datuk T Mohan

KUALA LUMPUR – Naib Presiden MIC, Datuk T. Mohan mengalu-alukan pembubaran Parlimen sambil menyifatkan ia satu berita baik buat rakyat di negara ini.

Kata Ahli Dewan Negara itu, sejak tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN), keadaan negara kucar kacir malah sudah beberapa kali bertukar kerajaan dan Perdana Menteri.

“Sememangnya pembubaran Parlimen ini satu keperluan buat setiap rakyat di negara ini. Ini adalah satu berita paling bagus sekali. Sejak beberapa tahun ini, kita tidak pernah berada dalam satu kedudukan politik tidak stabil.

“Ingatlah, Malaysia amat bergantung pada kestabilan politik, bila Parlimen bubar, mandat akan diberikan kepada rakyat untuk memilih, pastinya pilihan terbaik terletak pada mereka. Banyak yang perlu dilakukan sejurus selepas kerajaan baharu dibentuk terutamanya ekonomi.

“Pada saya, hanya kerajaan yang mempunyai mandat rakyat dan majoriti besar sahaja dapat memainkan peranan dengan baik sekali, jika tidak semuanya flip flop seperti sebelum ini. Yang rugi adalah rakyat, Malaysia perlu dipulihkan sebaik mungkin,” katanya ketika di temui pada Perhimpunan Agung MIC ke-76 hari ini.

Sebentar tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mohan juga melahirkan rasa hairan bagaimana pembangkang  teruja untuk membantah pembubaran Parlimen walhal jika negara lain, barisan pembangkanglah yang paling lantang menuntutnya.

“Jika kamu lihat negara lain, selalunya kerajaan yang pegang kuasa akan cuba pegang mandat manakala pembangkang akan sedaya upaya untuk membubarkan Parlimen. Di sini, lain  ceritanya. Tidak pasti apa agendanya tetapi terus terang pasti itu bukan demi kepentingan rakyat,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast