Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. melepaskan belon semasa melancarkan hari keluarga “Ceria Bersama PDRMCare Program Komuniti Prihatin Kesejahteraan Tahun 2017” di Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Polis negeri ini sudah mula melakukan ujian saringan air kencing terhadap 10,370 warganya termasuk kakitangan awam dalam usaha memastikan sekali gus membersihkan anggota dan pegawainya daripada dadah.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, sejak inisiatif itu dilancarkan, seramai 6,221 orang membabitkan pegawai, anggota dan kakitangan awam telah disaring manakala baki 4,149 akan dilakukan secara berperingkat.

“Daripada jumlah itu, seramai empat orang anggota berpangkat rendah serta seorang kakitangan awam berusia antara 25 hingga 35 tahun ditahan kerana didapati positif penggunaan dadah,” katanya selepas merasmikan hari keluarga “Ceria Bersama PDRMCare Program Komuniti Prihatin Kesejahteraan Tahun 2017” di sini hari ini.

Tambahnya, empat anggota itu didapati positif methamphetamine manakala kakitangan awam itu pula positif dadah jenis opiat.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan lain, Mohd. Khalil berkata, seramai 13 orang terdiri daripada dua kumpulan gangster ditahan selepas terlibat dalam satu pergaduhan sehingga mendatangkan kecederaan di Batu Pahat, Khamis.

Menurutnya, tangkapan pertama melibatkan empat lelaki berusia 29 hingga 44 tahun pada 3.45 pagi hari kejadian dan sembilan lagi berusia antara 15 hingga 37 tahun ditahan pada pukul 2 petang.

“Hasil siasatan awal mendapati, pergaduhan berlaku berpunca daripada perselisihan faham sesama mereka,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Sekssyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 kanun yang sama. = MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast