Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli

PETALING JAYA – Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas sudah mengetahui mereka tidak lagi diterima oleh pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), kata Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Justeru, katanya, Pas akan sering memainkan isu dakwaan kerjasama PKR dengan UMNO sempena PRU15 kerana tidak mahu menerima kenyataan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) adalah parti pilihan majoriti kaum Melayu.

“Saya faham mengapa mereka mengambil strategi berkempen begitu kerana mereka sekatan berada di belakang dari segi sokongan Melayu. Pertama BN dan kedua PH yang sedang merapati dan yang ketiga adalah PN.

“Seperti yang kita tengok dalam PRN Johor bila ada pertembungan tiga parti atau lebih sebahagian besar undi itu hanya dapat pada parti pertama dan kedua. Parti ketiga akan terkebelakang sepertimana yang berlaku di Johor.

“UMNO dapat undi Melayu sekitar 40 peratus, PN dapat 26 peratus PH hanya dapat 11 peratus. Di Johor, PH adalah parti ketiga.  Tapi keadaan telah bertukar di seluruh negara di mana BN nombor satu, PH kedua sekarang,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Rafizi berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam yang mendakwa sebahagian pemimpin UMNO didakwa sengaja mengatur strategi bagi mengecilkan kemenangan BN pada PRU15.

Hadi berkata pihaknya menerima maklumat menyatakan, tindakan tersebut adalah sebahagian daripada langkah untuk membentuk kerjasama dengan PH selepas PRU15.

Katanya, tindakan tersebut diatur oleh sebahagian pemimpin UMNO bagi menyelamatkan diri masing-masing.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, tuduhan itu mustahil untuk direalisasikan kerana PKR sendiri tidak mempunyai jumlah angka yang cukup untuk bekerjasama dengan UMNO secara bersendirian.

“PKR saja tidak ada angka yang cukup untuk menyertai atau membuat apa-apa gabungan. Kita tidak boleh buat sendiri. Ia mesti dengan PH jadi jika dengan PH perlu mendapat persetujuan keempat-parti.

“Dalam PKR sendiri tidak akan setuju jadi macam mana nak bawa ke PH ia terlalu rumit.

“Mereka akan terus mainkan sentimen itu ini dan saya tidak mahu terheret ke dalam isu strategi politik kerana dalam PRN Johor dan Melaka mengapa pengundi hukum PH terutamanya ialah kerana PH terlalu terheret dengan soal strategi politik katak untuk dapat angka, khemah besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast