KUALA LUMPUR – Naib-naib Ketua UMNO Bahagian tidak akan sama sekali menerima sebarang perbincangan dan usaha untuk menyatukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH).
Ia kerana kumpulan ini percaya asas perjuangan UMNO selama ini menegak syiar agama dan perjuangan masa depan Melayu dan Bumiputera, maka persefahaman dengan PH yang dikuasai DAP adalah suatu pengkhianatan paling besar.
Malah, mereka yang bersekongkol dengan usaha ini tidak boleh dikompromi dan ditolak parti.
Pengerusinya, Datuk Muhammad Anuar Mohd Yunus dalam satu kenyataan berkata, perkara ini merupakan lima pendirian dan tuntutan tindakan serta-merta kepimpinan kumpulan tersebut.
Tuntutan kedua adalah mendesak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN serta-merta demi pertanggungjawaban terhadap kekalahan yang memalukan malah lebih teruk dari Pilihanraya Umum Ke-14 yang lalu.
“Kami mengucapkan berbanyak terima kasih atas sumbang baktinya selama memimpin, namun penolakan jelas rakyat terhadap UMNO atas kebimbangan mereka parti ini dipimpin oleh beliau terpaksa diambil kira bagi meletakkan semula kepercayaan rakyat seterusnya mengembalikan UMNO di hati mereka,” katanya di sini.
Selain itu, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebagai Pengarah Pilihan Raya BN juga diminta melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden UMNO sebagai tanda betapa beliau bertanggungjawab atas kekhilafan strategi dan calon-calon yang dipertaruhkan pada PRU15.
Tegasnya, kegagalannya mengotakan beberapa janjinya termasuk mengekalkan penyandang-penyandang ahli Parlimen dan kriteria ‘Winnable Acceptable
Likeable (WALI) yang diuar-uarkan umum telah mengakibatkan berlaku defisit kepercayaan penyokong dan rakyat secara keseluruhan.
”Selari dengan kenyataan medianya sebelum ini bahawa akan melepaskan jawatan andainya BN tewas, hendaklah dikotakan,” ujar beliau.
Anuar menambah, semua pemimpin-pemimpin UMNO yang jelas dilihat dekat di hati rakyat hendaklah diberikan tempat serta-merta di dalam kepimpinan Majlis Tertinggi UMNO.
Jelas beliau, mereka yang menjadi perhatian rakyat melalui pertambahan majoriti kemenangan ketara, mereka yang berjaya merampas kembali kawasan-kawasan yang sebelum ini tewas terutamanya kawasan bandar dan tidak ketinggalan bagi yang berjaya merobek kubu lawan yang mana masih tewas tetapi berjaya merobek majoriti lawan dengan begitu besar, harus ditempatkan di dalam barisan kepimpinan tertinggi parti sebagai suatu ekspresi kepada rakyat bahawa UMNO mengambil maklum akan kehendak dan suara mereka.
”Meneliti kembali pola kekalahan BN d kawasan-kawasan yang selama ini diberikan khidmat membela rakyat yang cemerlang oleh penyandang-penyandang kita sebelum ini, malangnya mereka dinafikan untuk kembali bertanding sehingga BN akhirnya tewas di kawasan-kawasan berkenaan, maka mereka harus diberikan tempat dan peranan di dalam pucuk pimpinan parti bagi menunjukkan apresiasi parti terhadap isyarat rakyat.
“Kami sentiasa peka dan sedia berjuang demi kelangsungan parti memperjuang kepentingan agama, bangsa dan negara. Tidak ada kompromi di dalam memastikan UMNO terus relevan di hati rakyat. Keterbukaan para pemimpin tertinggi parti adalah disanjung tinggi,” ujarnya – MalaysiaGazette
















