Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tiga kiri) dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed (dua kiri) bersama yang lain menunjukkan Buku Dasar Dadah Negara pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri serta Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Kementerian Dalam Negeri di Pejabat KDN, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 29 NOVEMBER 2017.
PUTRAJAYA – Isu penagihan dan pengedaran dadah diakui semakin meruncing di negara ini walaupun pelbagai langkah dan kaedah pencegahan telah dikuatkuasakan pihak berkuasa selama ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan berpendapat tidak perlu mengikut jejak langkah negara jiran seperti Indonesia dan Filipina yang mengambil pendekatan paling tegas dalam memerangi dadah.
“Saya setuju (penggunaan) dasar penguatkuasaan dan pencegahan dadah lebih berat negara rantau Asia Tenggara tetapi kita tidak boleh menggunakan acuan negara lain untuk rela paksa penguat kuasa menggunakannya di negara kita walaupun kaedah lebih berat itu terbukti berkesan.
“Saya sering sebut (tahun) 2015, ASEAN meletakkan zaman sifar dadah tetapi tidak berjaya mencapai sasaran itu sebelum telah menukar kepada tahun 2020.
“Dadah ini masalah berpanjangan yang bukan hanya menggugat negara kita malah juga diperingkat global,” katanya pada sidang media Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri KDN, Datuk Nur Jazlan Muhamed, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Zulkifli Ahmad, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dan Ketua pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Dr. Abd Halim Mohd Hussin.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, KDN telah meminta AADK mengkaji dan melihat semula apa yang mengekang sistem yang sedia ada dan digunapakai di negara ini.
Ditanya sejauh mana dasar baharu pencegahan dadah dapat membantu mencegah penagihan dan pengedaran dadah, beliau berkata, dasar baharu lebih tertumpu kepada rawatan agama untuk rehabilitasi penagih dan pemerkasaan polisi komuniti dalam mencegah sepenuhnya disamping hukuman tegas yang dikuatkuasakan sekarang.
“Dalam perkara ini, saya kena meneliti apa kesan penguatkuasaan yang perlu diperbaiki untuk mengorak langkah lebih efektif dalam isu dadah.
“Kita melihat bahawa kerjasama antara agensi antarabangsa perlu dipereratkan lagi untuk mencegah dadah tanpa kompromi kerana dadah sekarang tidak lagi dihasilkan menggunakan cara tradisional tetapi dengan bahan sintetik di luar negara menerusi internet.
“Tiba masanya kita perlu berada dalam kedudukan lebih pintar mengikut apa yang kita sedang kuatkuasakan sekarang untuk memerangi dadah secara habis-habisan di negara ini,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast