KUALA LUMPUR – Barisan kepimpinan pembangkang antaranya ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) direkodkan tidak hadir di Dewan Rakyat di sini pagi tadi.
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, pihak pembangkang sering mempersoalkan tentang kerajaan namun tidak mengambil peluang hari ini untuk bertanya sendiri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sekali lagi Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang tidak hadir dan tidak menanyakan soalan.
“Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri diadakan setiap Selasa. Ini peluang terbaik Pembangkang bangkitkan soalan, berdepan, dan bersemuka dengan Perdana Menteri,” katanya di Facebook beliau pagi ini.
Anwar hari ini hadir di Dewan Rakyat bagi sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) yang diadakan setiap Selasa.
Hadir sama adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ini kali kedua barisan pembangkang tidak kelihatan di Dewan Rakyat ketika sesi PMQT.
Anwar menjawab persoalan berkaitan produk cecair bagi kegunaan alat rokok elektronik atau vape serta perkhidmatan pegawai perubatan secara lantikan kontrak, pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Persoalan mengenai justifikasi tindakan kerajaan menyahsenaraikan produk cecair dan gel nikotin yang digunakan dalam alat rokok elektronik daripada Akta Racun 1952 akan diajukan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat). – MalaysiaGazette
















