KABONG – Seekor buaya jantan dikenali dengan gelaran’Bujang Emplam’ yang dipercayai telah mengorbankan tujuh mangsa sejak tahun 2007, akhirnya tewas apabila termakan jerat yang dipasang di tebing Sungai Sebelak berhampiran jeti Kampung Emplam, Kabong, Sarawak pada 7.46 pagi ini.

Menurut ketua kampung itu, Boestamam Bakar, 65, buaya berukuran 4.5 meter panjang dengan lilitan badan 1.5 meter juga didapati terbelit pada jerat berumpan ayam itu yang dipasang seorang nelayan sungai.

Beliau berkata semasa ditemui, buaya itu yang sebelum ini sering muncul di tebing sungai serta memakan ternakan ayam dan itik penduduk kampung masih hidup, tetapi telah ditembak empat kali oleh penduduk kampung dengan menggunakan senapang patah.

“Sering kali bila air sungai pasang, buaya ini masuk bawah rumah penduduk dan melibaskan ekor menyebabkan rumah bergegar. Ini menakutkan penghuni.

“Buaya ini juga sering kelihatan di seberang Kampung Emplam oleh penduduk kampung. Ramai orang tidak berani turun ke sungai untuk menangkap udang dan ikan kerana khuatir diserang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.