KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Dewan Rakyat diharap supaya membawa isu yang lebih bermanfaat kepada kebajikan penjawat awam dan sistem penyampaian perkhidmatan berbanding menyuarakan kes-kes terpencil.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, isu etika pemakaian tidak wajar diperbesarkan.
“CUEPACS berpandangan isu tersebut adalah kes terpencil dan tidak perlu diperbesarkan kerana penetapan kod pakaian jururawat yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam telah dibuat berdasarkan garis panduan yang sentiasa ditambah baik.
“Cuepacs berharap lebih banyak isu-isu berkaitan kebajikan serta tekanan kos sara yang dihadapi oleh pejawat awam diketengahkan berbanding masalah-masalah terpencil ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau mahu isu yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Kuantan dari Perikatan Nasional (PN), Wan Razali Wan Nor baru-baru ini wajar diterima sebagai teguran secara positif.
Cuma, katanya, ia tidak patut dijadikan modal politik semata-mata.
Jelas Adnan, ini kerana isu tersebut lebih kepada individu dan tidak menggambarkan keseluruhan jururawat dalam perkhidmatan awam.
“Pemakaian seluar panjang dengan baju berlengan panjang ketika ini adalah amat sopan dan telah menutup aurat. Rekaan pakaian tersebut juga memudahkan pergerakan jururawat ketika melaksanakan tugas yang sentiasa memerlukan pergerakan fizikal.
“Soal pakaian ketat tersebut adalah lebih kepada individu dan tidak menggambarkan keseluruhan jururawat dalam perkhidmatan awam. Dalam hal ini adalah menjadi tanggungjawab kepada ketua jabatan untuk membuat teguran dan memastikan etika pemakaian kakitangan masing-masing mematuhi garis panduan ditetapkan,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















