SHAH ALAM – Polis menafikan ada pihak cuba ‘memerangkap’ sehingga mengakibatkan ancaman keselamatan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, mungkin istilah perangkap yang didakwa oleh Sanusi tidak merujuk kepada serangan musuh yang diterimanya pada saat-saat akhir berkempen.
Sebaliknya beliau berkata, Sanusi membayangkan bahawa beliau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika perjalanan menghadiri ceramah.
“Dia mungkin dalam istilah digunakan terperangkap. Dia mungkin terperangkap dalam jem. Itu yang tidak dapat pergi kempen. Bila nak pergi syarahan (ceramah) memang ramai orang dalam kesesakan lalu lintas jadi dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Mungkin itu maksud perangkap,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor selepas meninjau proses pengundian awal, di sini, hari ini.
Terdahulu, dilaporkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu tidak hadir pada Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) di Padang Awam Taman Ria, Sungai Petani baru-baru ini.
Timbalan Pemuda Pas yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi mendakwa Sanusi dinasihatkan tidak berada di pentas ceramah berikutan faktor keselamatan.
“Pagi tadi Menteri Besar (MB) mesyuarat di Kuala Lumpur yang membincangkan perkara besar dan daripada itu dinasihatkan beliau untuk tidak meneruskan ceramah pada malam ini kerana ada ‘perangkap’ yang dipasang oleh musuh,” kata Afnan.
Sementara itu, Ayob mengesahkan pihak polis tidak menerima laporan daripada Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun berkenaan kenyataan Menteri Besar Kedah mengenai kenyataan yang didakwa berunsur fitnah berhubung Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).
“Setakat ini laporan tidak dibuat itu mungkin hanya kenyataan,” tambahnya. -MalaysiaGazette
















