GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP didakwa telah membuat bayaran awal kepada pihak kontraktor bagi projek tiga lebuh raya yang bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow berkata jawapan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri Lim Hock Seng dalam Persidangan Dewan Undangan negeri pada 19 Mei tahun lepas menyatakan bahawa tanah Lot 702 telah diberi milik kepada pihak kontraktor pada 17 Feb 2015 dengan nilai RM135 juta.
Menurutnya, dalam Persidangan Dewan Undangan negeri pada 30 April 2015, Hock Seng pernah menyatakan dalam jawapan bertulis bahawa kajian kebolehlaksanaan bagi ketiga-tiga projek ini hanya mencapai prestasi 97 peratus manakala reka bentuk terperinci mencapai kemajuan 75 peratus pada ketika itu.
“Mengapakah kerajaan negeri boleh membuat bayaran kepada kontraktor pada Februari 2015 tetapi kajian kebolehlaksanaan bagi tiga lebuh raya itu hanya mencapai 97 peratus pada April 2015.
“Kenyataan Hock Seng jelas bercanggah dan membukti bahawa kerajaan negeri telah memberikan bayaran awal,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Projek berkenaan merangkumi Jalan Berkembar Pesisir Utara sepanjang 10.53km dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, jalan pintas Air Itam-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 5.7km dan jalan pintas Persiaran Gurney-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 4.075km.-BERNAMA















