Pelajar perempuan yang disyaki melepaskan tembakan ditahan polis. foto Agensi

LOS ANGELES – Dua pelajar ditembak di sebuah sekolah di sini manakala tiga lagi mangsa yang berumur antara 11 dan 30 mengalami kecederaan ringan.

Susulan itu polis sudah menahan seorang murid perempuan berusia 12 tahun dan senjatanya dirampas.

Kejadian tembakan itu berlaku pada pukul 8.55 pagi di Sekolah Salvador Castro Middle di daerah Westlake.

Seorang mangsa lelaki berusia 15 tahun yang ditembak di kepala dilaporkan dalam keadaan kritikal tetapi stabil manakala mangsa perempuan ditembak di pergelangan tangan.

Jurucakap polis Los Angeles, James Cook berkata, polis masih menyiasat dan mengesan jika ada mangsa tambahan dan senjata lain digunakan dalam kejadian itu.

Sekolah itu ditutup buat sementara waktu.

Pihak berkuasa juga masih belum mendedahkan motif tembakan itu.

“Penyiasat sedang mengenal pasti kes ini secara berhati-hati dan menghantar kaunselor kepada pelajar yang memerlukan.

“Kami perlu mengendalikan kes ini dengan berhemah, mengambil kira trauma murid-murid yang terlibat,” kata Steve Zipperman, Ketua Polis Los Angeles.

Kes terbaru ini adalah yang ketiga di sekolah Amerika Syarikat selepas seorang pelajar di Kentucky melepaskan tembakan di sekolah menyebabkan dua maut dan 17 cedera.

Sehari sebelum itu, seorang pelajar 16 tahun ditahan selepas mencederakan rakannya di sebuah sekolah di Texass. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast