SEOUL – Korea Selatan memperketat pemeriksaan terhadap kubis yang diimport dari China selepas penjual di negara itu didapati menggunakan formaldehid bagi memastikan sayuran berkenaan kekal segar.
Kubis merupakan bahan utama dalam kimchi, makanan diperam yang menjadi hidangan penting dalam diet rakyat Korea Selatan.
Kementerian Keselamatan Makanan dan Dadah Korea Selatan berkata, pihaknya mempertingkat pemeriksaan terhadap kubis dari China di pintu masuk sempadan serta sedang menyemak sama ada sayuran yang terjejas sudah dibawa masuk ke negara itu.
China melancarkan pemeriksaan mengejut dan pemeriksaan di pasaran selepas beberapa video tersebar meluas dalam talian, menunjukkan kubis dicelup ke dalam bahan kimia industri berkenaan, yang antara lain digunakan di rumah mayat untuk mengawet mayat, bagi memanjangkan tempoh kesegaran sayuran.
“Sebarang pelanggaran undang-undang atau peraturan, jika ditemui, akan dikenakan tindakan tegas tanpa bertolak ansur,” menurut Pentadbiran Negeri bagi Peraturan Pasaran China dalam satu kenyataan.
Korea Selatan kini memasuki musim penyediaan kimchi yang dikenali sebagai kimjang, iaitu amalan warisan yang disenaraikan UNESCO dan biasanya bermula pada penghujung musim luruh hingga akhir tahun.- Agensi
















