SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menahan pemandu dan kelindan lori yang terlibat dalam kegiatan menyeleweng minyak diesel di sebuah stesen minyak di Permatang Pauh di sini semalam.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, tangkapan ke atas dua lelaki berusia 20 an itu dilakukan pihaknya pukul 12.15 tengah hari berdasarkan maklumat awam dan risikan.
“Bertindak atas aduan kita menjejaki sebuah lori tiga tan berwarna putih tanpa muatan dalam keadaan mencurigakan.
“Semakan ke atas lori itu mendapati ada satu tangki simpanan jenis gentian kaca berkapasiti 6,000 liter yang dipercayai digunakan untuk seleweng diesel.

“Malah pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kira-kira 4,000 liter minyak diesel telah diisi dalam tangki gentian kaca itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Jegan, hasil soal siasat awal, kedua-dua lelaki itu mengaku terlibat dalam kegiatan menyeleweng diesel dan pembelian dilakukan di beberapa stesen minyak menggunakan kad kad kredit.
“Susulan itu, kita merampas lori, minyak diesel, telefon bimbit lelaki berkenaan dan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM35,500.
“Siasatan lanjut membabitkan kes ini akan dilakukan dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” kata beliau. – MalaysiaGazette
















