
KUALA LUMPUR – Ringgit meneruskan penurunannya hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila lebih ramai pelabur beralih ke arah mata wang lain berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap prestasi ekonomi global yang tidak menentu, kata peniaga.
Pada jam 6 petang, ringgit ditutup pada 3.9370/9410 berbanding dolar AS daripada 3.9245/9275 pada Khamis.
Seorang peniaga berkata dolar AS rendah sedikit berbanding beberapa mata wang utama meskipun Senat AS meluluskan bajet termasuk rang undang-undang pembiayaan kerajaan, kerana langkah yang diambil itu sudah terlalu lewat untuk menghalang penutupan operasi kerajaan persekutuan.
“Kebanyakan pelabur memutuskan untuk menjual pegangan sedia ada daripada membeli pegangan baharu kerana mereka mahu mengurangkan pendedahan risiko semasa peningkatan keadaan tidak menentu,” katanya.
Ringgit juga ditutup kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9604/9643 daripada 2.9496/9523 pada Khamis dan susut berbanding yen kepada 3.6096/6143 daripada 3.5759/5789 dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.4795/4859 daripada 5.4394/4439 sebelumnya. – MalaysiaGazette















