KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan isu kepincangan tender peralatan gimnastik untuk Sukan SEA 2017 seperti dilaporkan media adalah tidak tepat.

Unit Komunikasi Korporat KBS dalam satu kenyataan berkata, Rukun Juang Sendirian Berhad (RJSB) selaku kontraktor utama kepada Projek Bandar Sukan Kuala Lumpur menguruskan tender pembekalan peralatan sukan untuk venue tersebut termasuk peralatan gimnastik.

Kenyataan itu berkata, RJSB telah melaksanakan proses tender pembekalan pada 11 November tahun lepas dan syarikat yang berada di tangga teratas senarai pendek penilaian telah dikenal pasti.

“Namun pada 6 Januari lepas, sebelum tender itu dianugerahkan kepada mana-mana syarikat, KBS dimaklumkan oleh RJSB bahawa syarikat tersebut mempunyai percanggahan kepentingan dalam perkara ini dan mencadangkan agar tender ini dibatalkan dan tender perolehan peralatan gimnastik ini dilaksanakan semula,” kata kenyataan itu semalam.

Kenyataan itu turut menyebut pelaksanaan semula proses tender berkenaan juga berpotensi memberikan penjimatan kepada kos projek dan kerajaan.

“Oleh itu, KBS bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan,” kata kenyataan tersebut.

KBS juga mengambil keputusan agar proses tender bagi pembekalan peralatan gimnastik itu akan dilaksanakan oleh Perbadanan Stadium Malaysia selaku pemilik venue tersebut bagi memastikan pelarasan dan kelancaran pembekalan, kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette