Ketua Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) di Indonesia, Oliver Lacey-Hall bercakap kepada media selepas Perasmian 'INSARAG Asia Pacific Regional Earthquake Exercise' di Hotel Marriot, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 11 SEPTEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Kerjasama rapat antara negara-negara Asia Pasifik perlu diperkasa dan dipertingkatkan dalam menghadapi bencana besar pada masa hadapan.

Ketua Pengurusan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dari Indonesia, Oliver Lacey-Hall mendakwa kerjasama antara negara di rantau itu dalam menghadapi sesuatu bencana masih tidak wujud.

“Persidangan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) 2017 kali ini penting bagi berkongsi rangkaian kepakaran dan idea perkhidmatan kecemasan dalam menghadapi bencana besar di sesebuah negara.

“Tetapi, kita masih kurang bergerak sebagai satu rangkaian bersepadu dalam mengakses dan menghadapi bencana besar termasuk gempa bumi.

“Saya tak bermaksud ia langsung tidak wujud tetapi ia perlu diberi fokus lebih banyak dan harus dipertingkatkan lagi.

“Antaranya, kita perlu memudahkan akses rangkaian kerjasama antara negara rantau Asia Pasifik untuk menangani bencana atau tragedi besar secara bersama sebagai satu keluarga,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas Mesyuarat INSARAG Rantau Asia Pasifik dan Latihan Simulasi dan Respon Gempa Bumi di Rantau Asia Pasifik (INSARAG) 2017 hari ini.

Persidangan yang akan berlangsung sehingga 13 September dirasmikan oleh Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Malaysia (NADMA), Datuk Abd Rashid Harun.

Hall turut mengambil contoh pasukan mencari dan menyelamat gempa bumi di Armenia pada 1988 yang mana tidak mempunyai metodologi terbaik dikongsi sesama pasukan terlibat.

Kata beliau, pihaknya mengambil iktibar daripada tragedi itu dan menyedari perlunya satu badan untuk menyelaras kerjasama antara negara-negara serantau dalam menghadapi bencana seperti gempa bumi sebelum pengwujudan INSARAG.

Beliau menambah, selepas 25 tahun kejadian itu, pihaknya mendapati pasukan terbabit bertindak secara bersendirian tanpa rangkaian tersusun.

Katanya, pasukan INSARAG dari Singapura, Malaysia dan Indonesia perlu bersedia menghulurkan bantuan dengan metodologi pengurusan bencana yang sama.

“Seperti yang anda tanya di mana kekurangan kita, saya dapat merasakan kita lebih bersifat bergerak bersendirian tanpa kerjasama pasukan serantau.

“Kita sebenarnya boleh memperbaikinya supaya berkerjasama sebagai satu keluarga antarabangsa dalam menangani bencana besar dan Malaysia hari ini menyediakan platform kita mengakaji segala kepakaran dan peluang yang boleh kita kongsi.

“Kita akan fokus beberapa bahagian yang boleh bekerjasama termasuk cara mengakses semasa bencana berlaku.

“Kita juga akan membincangkan bagaimana teknologi sedia ada boleh menyokong contohnya gempa bumi, kita perlu memastikan boleh berkomunikasi menggunakan kemudahan elektronik sedia ada untuk memindahkan data dengan mudah ketika bencana gempa bumi dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette