Home Dunia Wanita misteri terjatuh ketika panjat bangunan lapangan terbang

Wanita misteri terjatuh ketika panjat bangunan lapangan terbang

133
0

BANGKOK – Selepas memanjat dan tergantung pada kabel struktur di Lapangan Terbang Suvarnabhumi selama berjam-jam, seorang wanita warga asing akhirnya terjatuh.

Namun nasibnya baik apabila dia terjatuh di atas tilam kembung.

Wanita berusia antara 25 dan 30 tahun itu kemudiannya dihantar ke hospital dan didapati selamat.

Naib Presiden lapangan terbang, Kittipong Kittikachorn berkata, tilam kembung itu dipasang sebagai sebahagian daripada pelan kecemasan.

Katanya, pasukannya menghabiskan lebih dari dua jam cuba memujuk wanita itu untuk turun, namun tidak berjaya.

“Tetapi sepanjang tempoh itu, semasa dia naik dari kabel ke kabel, dia bergerak ke bawah dari tingkat keenam ke tingkat keempat. Jarak dari kedudukannya dan lantai itu semakin rendah,” katanya.

Wanita itu sebelum ini dilihat berjalan-jalan di sebuah lebuh raya di Bangkok kira-kira pukul 3 pagi pada hari Rabu.

Apabila mereka menerima laporan itu, pegawai-pegawai lebuh raya bergegas mengambilnya dan menyerahkannya kepada polis pelancong di Lapangan Terbang Suvarnabhumi.

Polis pelancong cuba bertanya kepadanya tetapi dia enggan bercakap. Bagi meredakan tekanannya, wanita itu diberi makan dan minum.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, dia bertindak memanjat kabel struktur.

Pegawai lapangan terbang itu berkata, pihaknya sedang menghubungi pihak berkuasa untuk mengenal pasti identiti wanita berkenaan.

Sumber berkata, wanita itu mempunyai tattoo di belakang badannya yang tertulis ‘Olympic 2014’. – MalaysiaGazette