Isa Samad individu kesembilan tampil beri keterangan

KUALA LUMPUR – Bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir di Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial hari ini bagi memberi keterangan berhubung isu pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, di sini.

Beliau tiba jam 10.30 pagi tadi dan terus ke tingkat 33 menerusi pintu belakang Menara 238.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Datuk Ammar Singh, Isa merupakan individu ke sembilan dipanggil bagi memberikan keterangan hari ini.

“Kita sedang merakam keterangan Tan Sri sekarang. Masih belum selesai, dan akan diteruskan selepas solat Jumaat.

“Beliau datang jam 10.30 pagi tadi, kami telah temuduga dan dalam proses merakam percakapan,” katanya kepada media hari ini.

Tambah Ammar lagi, sesi merakam percakapan adalah berkisar tentang isu tanah Felda di Jalan Semarak di ibu negara.

Media mulai membanjiri perkarangan Bangunan 238, Menara KPJ seawal jam 9 pagi tadi bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai isu tanah Felda di Jalan Semarak.

“Kita telah merakam lapan percakapan saksi dan Isa Samad adalah individu ke sembilan yang dipanggil polis. Hari Isnin depan kita akan rakam keterangan seorang lagi saksi yang bekerja dalam Felda,” kata Ammar lagi.

Mohd Isa pernah menjadi Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017, Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan, iaitu penipuan serta pemalsuan dokumen.

Pada 21 Disember lalu, Berita Harian melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM270 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan sebuah firma audit luar oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk melaksanakan audit forensik ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang sedang dibangunkan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) atas tanah milik Felda. -MalaysiaGazette.