Ogy Maalek

KUALA LUMPUR – Pendatang baharu dalam industri muzik tanah air, Ogy Maalek tidak menyangka lagu pertamanya berjudul ‘Lelaki Yang Pernah Ku Cintai’ dipilih menjadi runut bunyi drama bersiri yang sedang ditayangkan di sebuah televisyen swasta.

Ogy Maalek atau nama sebenarnya Siti Ruqayah Ab Maalek, 21, berkata lagu ciptaan Bajai dan Alif Hassan itu bersesuaian dengan jalan cerita drama ‘Tiada Arah Jodoh Kita’ yang mengisahkan tentang seseorang yang pernah dicintai namun akhirnya meninggal dunia.

“Lagu bergenre pop balada, yang antara bait-bait lagu ‘biarkan aku menangis, menanti cinta yang abadi, kau pergi menghadap Ilahi, aku di sini,’ dilancarkan pada 15 Feb lepas di bawah syarikat rakaman Scifi Record,” katanya kepada Bernama.

Bekas pelajar Diploma Komunikasi Korporat Kolej Universiti Poly-Tech Mara Kuala Lumpur itu berkata selain menyanyi, dia juga berkebolehan bermain gitar, drum dan keyboard sejak berusia 11 tahun.

Anak kelima daripada lapan adik-beradik itu berkata dorongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan menguatkan semangatnya untuk menceburi bidang nyanyian.-BERNAMA