Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mangsor serta barisan kepimpinan parti komponen BN mengibarkan bendera BN bersama penyokong-penyokong BN pada Pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 APRIL 2018
KUALA LUMPUR – Pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) semalam dilihat bakal menamatkan penderitaan rakyat Selangor hampir 10 tahun yang dijanjikan Pakatan Harapan dengan tema ‘Peduli Rakyat’ sedangkan ia hanya sekadar janji semata-mata.
Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, rakyat Selangor hanya menjadi mangsa buli pemimpin pakatan pembangkang sejak PRU12 pada 2008 dan PRU13 pada 2013 hingga kini.
“Saya rasa satu manifesto begitu tepat pada masanya dengan tekad Manifesto BN untuk memulihkan isu air di Selangor. BR1M pula di luar dugaan, ini betul-betul janji ditepati kerana hasil kutipan GST yang meningkat dipulangkan kembali kepada rakyat. Itu janji BN.
“BR1M tidak perlu ikut parti tapi program KISS di Selangor hanya ambil kira kroni mereka sahaja. Hari ini seluruh rakyat Malaysia menikmati apa yang dikatakan GST itu untuk penyelewengan adalah fitnah belaka. Terima kasih kepada Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Manifesto BN di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos pula menyifatkan Manifesto BN berjaya menyangkal tohmahan pembangkang bahawa Malaysia negara bangkrap tidak berasas.
“Hari ini jelas janji yang dibuat oleh Datk Seri Najib Tun Razak adalah satu janji yang mempunyai masa depan untuk negara kita. Manifesto ini adalah yang terbaik untuk semua golongan lapisan di negara kita.
“Sudah pasti pemberian BR1M ini akan dikecam oleh pihak pembangkang dan inilah harapan daripada rakyat Malaysia,” katanya.
Bagi Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim pula menyifatkan Manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum k-14 (PRU14) adalah yang terbaik di dunia pernah dihasilkan sejak merdeka.
“Manifesto ini yang terbaik dalam dunia,” katanya dengan ringkas.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam pula menyifatkan Manifesto N untuk PRU14 sebagai janji pilihan raya yang ‘berpijak di bumi yang nyata’.
“Manifesto BN kali ini sangat hebat dan terbaik dalam sejarah Manifesto BN. Semua janji BN boleh dicapai dan dilaksanakan, berbanding dengan manifesto pembangkang umpama langit dan bumi.
“Mudah-mudahan rakyat boleh menerimanya dengan memberikan undi dalam pilihan raya akan datang demi kepentingan rakyat jelata,” katanya lagi. – MalaysiaGazette