Neelofa memohon agar netizen berhenti menyalahkan dan mengecam selebriti lain.
Neelofa

KUALA LUMPUR – Pengacara Neelofa memohon netizen berhenti memanggil golongan selebriti yang selama ini berdiam diri untuk menyokong mana-mana pemimpin sebagai golongan ‘lalang’.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 29, berkata, sepatutnya sudah tiba masanya rakyat bergabung untuk menjadikan Malaysia lebih baik.

“Apabila anda tersekat dalam situasi yang tidak menyenangkan dan mulut anda perlu ditutup untuk tidak berkata apa-apa atau tidak berada di mana-mana pihak.

“Sudah, masa untuk kita bersama, bersatu untuk Malaysia yang lebih baik, Malaysia kita!” kata Neelofa.

Neelofa menjelaskan perkara tersebut menerusi Instastory di Instagram miliknya semalam namun telah dipadamnya selepas beberapa jam dimuat naik.

Bagaimanapun, pengacara Awal Ashaari telah memuat naik semula kenyataan pelakon drama bersiri Red Velvet itu di Instastorynya.

Sebelum ini, ramai selebriti tempatan yang dikecam netizen gara-gara memuat naik foto bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mereka menganggap golongan selebriti itu seperti ‘lalang’ yang memihak pada kerajaan sebelum ini iaitu Barisan Nasional namun bertukar memilih Mahathir yang telah diberi mandat untuk kembali menduduki kerusi perdana menteri yang ketujuh.

Dalam pada itu, Neelofa meminta agar netizen berhenti menyalahkan dan mengecam selebriti.

Malah, pengacara program MeleTOP ini juga menyeru rakyat Malaysia agar bersyukur pada Allah untuk sejarah yang telah dicipta.

“Jadi, berhenti salahkan atau kecam selebriti lain juga. Tiba masa untuk meraikan daripada melabelkan yang lain.

“Mari semua, bukankah ia rasa seperti merdeka sekali lagi?

“Mari berasa bersyukur pada Allah swt untuk sejarah yang kita (terutama golongan belia) dapat menjadi saksi dan rasa sayang dan selamat kembali. – MalaysiaGazette