Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Nilai jualan sektor pembuatan pada April 2018 mencatatkan peningkatan 8.2 peratus dengan nilai jualan RM65.5 bilion berbanding RM60.5 bilion yang dilaporkan tahun sebelumnya.

Tahun ke tahun, peningkatan nilai jualan pada bulan April 2018 adalah didorong oleh peningkatan dalam produk peralatan elektrik dan elektronik (13.9%), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (6.3%) dan produk makanan, minuman dan tembakau (6.4%), menurut Jabatan Perangkaan.

Jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan April 2018 adalah seramai 1,069,410 orang, meningkat sebanyak 2.1 peratus atau 22,100 orang berbanding 1,047,310 orang pada April 2017.

Jumlah gaji & upah yang dibayar meningkat sebanyak 10.2 peratus (RM353.5 juta) kepada RM3,825.8 juta, sekaligus mencatatkan purata gaji & upah setiap pekerja sebanyak RM3,577 pada April 2018.

Nilai jualan per pekerja meningkat sebanyak 6.0 peratus kepada RM61,226 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette