Pakaian anak kapal wanira Malaysia Airlines Berhad dikatakan tidak mematuhi Syriah.

KUALA LUMPUR – Ahli-Ahli Parlimen sepatutnya memberi perhatian terhadap keselamatan dan kesejahteraan kakitangan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) dan bukannya terlebih fokus terhadap pakaian seksi pramugari syarikat itu.

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) yang kecewa apabila isu pakaian seksi pramugari Malaysia Airlines ditonjolkan dalam Parlimen berkata, sewajarnya ahli-ahli Parlimen berbincang mengenai kebajikan dan keselamatan syarikat penerbangan kerana ia adalah subjek kritikal dalam kalangan orang awam.

Selain itu, negara juga perlu memulihkan beberapa dasar lama Jabatan Penerbangan Awam.

Ahli-ahli Parlimen perlu melakukan lebih banyak kajian mengenai industri penerbangan kerana sektor ini memerlukan penambahbaikan yang ketara.

“Bukankah terdapat banyak isu penting lain yang perlu dibahaskan di Parlimen berbanding subjek pakaian seragam seksi.

“Apatah lagi, isu pakaian ini sudah dibincangkan sejak 15 tahun lalu dalam Parlimen, ini menunjukkan ahli-ahli Parlimen tidak membuat kajian dan mengetahui isu sebenar industri penerbangan.

“NUFAM sudah beberapa kali menyatakan jika syarikat penerbangan itu mahu mengubah imej atau pakaian seragam mereka, maka ia perlu dilakukan melalui inisiatif syarikat penerbangan, melainkan jika kerajaan atau pihak berkuasa bersedia memberi tekanan dan menuntut Malaysia Airlines untuk membelanjakan lebih banyak wang untuk pakaian seragam pekerja.

“Sedangkan tahukah mereka syarikat penerbangan nasional dikritik kerana kurang menangani isu-isu keselamatan dan kekurangan juruterbang serta berhadapan dengan masalah kewangan akibat kerugian bertahun-tahun?,” katanya di sini.

NUFAM berkata demikian berhubung pakaian pramugari Malaysia Airlines yang didakwa seksi dan tidak sesuai dengan imej Malaysia sebagai negara Islam dibahaskan dalam Parlimen kelmarin.

Ia menjadi kecoh apabila Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyarankan ahli Parlimen tidak memandang anak kapal yang berpakaian seksi

Anthony berkata demikian bagi menjawab soalan Siti Zailah Yusoff (PAS-Rantau Panjang) yang mendesak beliau sampai bilakah isu pakaian pramugari Malaysia yang seksi akan dapat diselesaikan.

Menurut NUFAM, adalah lebih baik ahli-ahli Parlimen melihat kekurangan dalam undang-undang penerbangan dan dasar-dasar baru yang perlu dilaksana dan diperkasakan melalui Parlimen.

Isu-isu ini lebih penting kerana memerlukan lebih banyak pertimbangan, selain mencari jalan penyelesaian yang lebih baik untuk kebaikan industri penerbangan negara.

Setidak-tidaknya, lihatlah masalah hidangan alkohol di atas pesawat dan anak-anak kapal yang tidak dibenarkan memakai tudung jika benar-benar menuntut pematuhan Syariah.

NUFAM juga hairan mengapa tidak banyak persoalan dibangkitkan di Parlimen berhubung laporan siasatan MH370 yang baru diumumkan sedangkan ia menjadi isu yang dikritik oleh orang ramai.

Walhal, kejadian MH370 mendedahkan banyak ruang yang perlu diberi perhatian untuk penambahbaikan.

“NUFAM berharap ahli-ahli Parlimen lebih sensitif kepada subjek sebenar, bukannya menimbulkan persoalan yang tidak relevan di Parlimen.

“Lagipun, seragam seksi anak kapal tidak menyebabkan pesawat negara hilang,” sindir NUFAM. – MalaysiaGazette