Mereka direman untuk membantu siasatan kes penyelewengan dana PRU14.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas Naib Presiden MIC berpangkat Tan Sri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM6 juta hari ini.

Menurut SPRM, suspek ditahan kira-kira pukul 2.45 petang di pejabat suruhanjaya itu di Johor Bahru.

Katanya, suspek berusia 64 tahun itu merupakan seorang pengarah syarikat dan pernah didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah pada tahun lalu.

“Kali ini dia dipercayai terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram iaitu menerima, memindah dan menggunakan wang haram hasil rasuah menerusi akaun peribadi dan syarikat miliknya, saudara serta proksi,” katanya.

Penahanan itu dilakukan SPRM kerana suspek bakal dihadapkan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Johor Bahru, esok.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan suspek itu namun enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu, difahamkan suspek pernah didakwa di mahkamah di Johor Baharu atas kesalahan mengemukakan tuntutan palsu kira-kira RM13 juta melibatkan projek Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) pada Julai 2017 lalu. – MalaysiaGazette