Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz
Peguambela dan Peguamcara Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Seorang peguam membuat laporan polis hari ini terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon daripada dua pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa berhubung pembelian sebuah lot banglo.

Mohd Khairul Azam dalam laporan polis berkata, beliau sendiri terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang amat terkejut dengan keputusan mahkamah itu.

Mohd Khairul berkata, dalam kenyataan media itu, SPRM amat terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot anglo dan tuduhan bersubahat yang dihadapi oleh Li Koon selepas pihak Peguam Negara menarik balik kes itu.

“Dalam kenyataan media yang sama, SPRM juga menegaskan bahawa keputusan Peguam Negara menarik kes tersebut telah diputuskan oleh Peguam Negara sendiri dan bukan daripada SPRM.

“SPRM buat pertama kali dalam sejarah negara mengeluarkan kenyataan media sedemikian yang menunjukkan konflik antara SPRM dan Peguam Negara.

“Kenyataan ini berbaur penyalahgunaan kuasa oleh Peguam Negara Tommy Thomas dalam menggugurkan pertuduhan terhadap Guan Eng.

“Di dalam kenyataan media yang sama, SPRM juga menegaskan bahawa keputusan Peguam Negara menarik balik kes tersebut telah diputuskan oleh Peguam Negara sendiri dan bukannya daripada SPRM.

“SPRM buat pertama kalinya dalam sejarah negara mengeluarkan kenyataan media sedemikian yang menunjukan konflik antara SPRM dan Peguam Negara. Kenyataan ini berbaur penyalahgunaan kuasa oleh Peguam Negara, Tommy Thomas dalam menggugurkan pertuduhan terhadap Lim Guan Eng,” kata Mohd Khairul dalam laporan polis yang dibuatnya.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail melepaskan dan membebaskan Guan Eng, 58, dan Phang, 46, berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Menteri Kewangan itu dan Datuk V.Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Guan Eng telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan selaku penjawat awam, iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang ketika disabitkan pertuduhan, didakwa mendapatkan suapan bagi dirinya dan isteri, Betty Chew dengan meluluskan permohonan penukaran tanah pertanian kepada perumahan awam di daerah barat daya negeri itu kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, Guan Eng sebagai penjawat awam didakwa mendapatkan untuk dirinya satu lot tanah dan banglo di No. 25, Jalan Pinhorn pada harga yang diketahuinya tidak sepadan dengan nilainya, daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta berbanding nilai pasaran RM4.27 juta pada 28 Julai 2015.

Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini, bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu. – MalaysiaGazette