Gambar MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan notis arahan supaya penganjur Lavida Coin (LVC) untuk menghentikan serta-merta semua aktiviti promosi berkaitan mata wang digital itu.

Pengawal selia pasaran modal Malaysia itu dalam satu kenyataan berkata, ia bagi membolehkan penelitian lanjut mengenai operasi LVC dilaksanakan.

SC juga turut menyenaraikan penganjur LVC iaitu DSV CryptoClub, LUX Galaxies and VI Profit Galaxy yang didapati mempromosi mata wang itu dalam Senarai Berwaspada Kepada Pelabur (Investor Alert) SC di www.sc.com.my.

“Pelabur adalah diingatkan agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah wajar wajar sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan, terutamanya skim pelaburan yang membabitkan mata wang kripto dan token digital,” kata kenyataan itu.

Baru-baru ini, Datuk Seri Vida (DSV) memperkenalkan mata wang digital atau kripto dikenali Lavida Coin pada harga awal yang ditetapkan, iaitu 1 LVC bersamaan AS$0.66 (RM2.71).

Ahli perniagaan dan selebriti itu juga mengajak orang ramai yang berminat untuk membeli LVC dengan harga serendah RM99 bagi 30 unit LVC sehingga RM9,900 (3,000 LVC).

Urus niaga dijalankan dalam ringgit Malaysia, dolar Singapura, dolar Brunei dan dolar Amerika Syarikat (AS).

Model perniagaan LVC itu menyasarkan pengumpulan dana berjumlah AS$1.5 bilion (RM6.14 bilion) bagi membiayai tiga projek iaitu, saluran hiburan atas talian (AS$1 bilion); saluran pembayaran LavidaPay (AS$100 juta) dan pembinaan hab komuniti Islam yang berpusat di masjid (AS$400 juta).

Mata wang kripto atau mata wang digital ialah sebahagian daripada evolusi mata wang maya yang dicipta dan disimpan secara elektronik.

Ia konsep terbaru yang wujud dalam ekonomi global menggunakan konsep kriptografi serta teknologi lejar yang membolehkan pemiliknya membuat pembayaran secara maya untuk barang dan perkhidmatan tanpa campur tangan pihak ketiga seperti bank, sekali gus memudahkan proses serta mengurangkan kos transaksi.

Antara contoh mata wang kripto ialah Bitcoin, Ethereum, Rip-ple dan Nem namun yang paling popular ketika ini adalah Bitcoin yang dilancarkan pada November 2008 oleh Nakamoto Satoshi.

Bank Negara Malaysia selaku bank pusat negara menegaskan wang kripto kekal tidak diiktiraf sebagai mata wang sah diperlakukan (legal tender). – MalaysiaGazette