Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto FAREEZ FADZIL, 18 OKTOBER 2018

BANGKOK – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengalu-salukan seberapa ramai pun anggota UMNO yang telah ‘menyampah’ dengan parti itu untuk menyertai Bersatu, tetapi mereka dilarang daripada bertanding sebarang jawatan parti sekurang-kurangnya untuk satu tempoh waktu tertentu.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu berkata, ini kerana parti itu ditubuhkan untuk membasmi rasuah dan berhasrat untuk kekal bebas rasuah selamanya.

“Kami berharap mereka yang sudah menyampah dengan UMNO akhirnya akan menyertai kami, tetapi kami tidak boleh membenarkan mereka memainkan peranan utama sebagai pemimpin-pemimpin Bersatu, untuk satu tempoh waktu tertentu mereka hendaklah dilarang daripada bertanding dalam pemilihan parti kerana kita tidak mahu Bersatu menjadi seperti UMNO yang rasuah,” katanya pada sesi dialog dengan rakyat Malaysia yang bermastautin di Thailand, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata walaupun Bersatu mirip UMNO dari segi keanggotaannya, tetapi ia mempunyai falsafah dan idea yang berbeza.

Jadi, beliau tidak menolak kemungkinan Bersatu menjadi seperti UMNO baru, bagaimanpun, ia mesti mengelak daripada melakukan amalan-amalan pemimpin UMNO terdahulu yang diketuai bekas presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menurut beliau telah tersasar jauh daripada matlamat asal penubuhannya pada 1946.

“Jadi, kita tidak boleh menjadi seperti UMNO sekarang tetapi kita boleh menjadi lebih tersusun hampir sama macam UMNO kerana anggota-anggota (Bersatu) adalah terdiri daripada orang Melayu dan kaum asal Sabah dan Sarawak,” kata beliau.- BERNAMA