Armand Azha
Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu direhatkan daripada parti meskipun beliau pada masa ini menghadapi banyak pertuduhan di mahkamah.

Perkara itu ditegaskan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah bahawa langkah tersebut ekoran UMNO yang diterajui Ahmad Zahid merupakan sebuah parti pembangkang.

“Jika dahulu parti UMNO merupakan kerajaan pusat tindakan Pemuda ini boleh diterima pakai kerana akan mengganggu proses undang-undang dimahkamah kerana UMNO parti memerintah.

“Dalam landskap politik hari ini di mana UMNO merupakan parti pembangkang dan tidak boleh mempengaruhi proses undang-undang di mahkamah mahupun peguam negara.

“Maka tidak perlu Presiden UMNO direhatkan malah, sepatutnya seluruh ahli UMNO bersama-sama mempertahankan Presiden UMNO sehingga habis proses undang-undang di mahkamah,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Armand yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang meminta semua ahli UMNO supaya bertenang dan terus istiqamah bersama parti dalam perjuangan memenangi semula keyakinan rakyat dan berpegang pada konsep “tidak bersalah sehingga terbukti bersalah”.

Katanya, janganlah ada diantara ahli-ahli parti itu bertindak mengikut emosi dan biarlah proses perundangan berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis.

Tambah beliau, apa yang diharapkan ketika ini ialah agar Ahmad Zahid mendapat layanan yang adil sejajar dengan prinsip tidak bersalah sehingga terbukti bersalah itu. – MalaysiaGazette’