Latheefa Koya

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pusat PKR Latheefa Koya hari ini mempertikaikan lawatan presidennya ke satu daerah kontroversi di Sarawak menjelang pemilihan parti itu, Sabtu ini.

Latheefa berkata, lawatan itu tidak wajar dilakukan seolah-olah presiden itu dilihat menyokong kem Rafizi Ramli secara terang-terangan dan menyokong Ahli Parlimen Julau, Larry Sng untuk jawatan ketua cabang kawasan itu.

“Wan Azizah telah dilihat dan digambarkan secara meluas semasa lawatan ini dengan Ahli Parlimen, Larry Sng yang secara terbuka mengisytiharkan bahawa beliau berada di puak kem Rafizi Ramli.

“Tidak ada sebab mengapa lawatan Wan Azizah perlu dilakukan pada malam sebelum pemilhan PKR di Sarawak. Kenapa beliau tidak melawat selepas pemilihan parti?

“Dalam keadaan ini, Wan Azizah perlu menjelaskan alasan dan keadaan lawatannya ke Julau pada malam sebelum pemilihan PKR Sarawak, orang ramai berhak mengetahui,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Latheefa juga berkata, pusat pemilihan PKR Julau bukan lokasi sesuai untuk dilawati Wan Azizah selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat peningkatan mendadak 13,000 keahliannya.

“Berkaitan dengan ini, Larry Sng juga sedang disiasat oleh SPRM.

“Perlu diingat bahawa cabang Julau mempunyai 13,000 ahli yang merupakan salah satu keahlian terbesar di PKR Sarawak.

“Oleh itu, bahagian ini boleh menjadi ‘raja’ dalam pemilihan parti PKR,” katanya.

Katanya lagi, Wan Azizah juga telah melakukan kesilapan besar apabila mengumumkan peruntukan RM100,000 di kawasan itu sebelum pemilihan PKR dijalankan.

“Lawatan Wan Azizah ke Julau melibatkan penggunaan kedudukan rasmi dan aset kerajaan. Beliau juga mengumumkan peruntukan RM 100,000 untuk jalan di Julau.

“Ini diumumkan dengan hadirnya Larry Sng yang merupakan calon sendiri di bahagian Julau dan jawatankuasa pusat parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette