Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menurunkan tandatangan sebagai gimik pelancaran Pasukan Bola Sepak Sekolah Tunas Bakti pada Program Turun Padang Ke Institusi Kanak-Kanak di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2018
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menurunkan tandatangan sebagai gimik pelancaran Pasukan Bola Sepak Sekolah Tunas Bakti pada Program Turun Padang Ke Institusi Kanak-Kanak di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Bermula tahun depan, kanak-kanak yang terbabit dengan kesalahan ringan tidak akan ditahan sebaliknya perlu menjalani modul intervensi khas mengikut kesalahan yang telah dilakukan serta latar belakang mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, program yang dikenali sebagai diversion, satu sistem pengalihan kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah ringan dan tidak serius daripada sistem kehakiman sedia ada.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, modul intervensi yang telah disediakan merangkumi kaunseling, khidmat masyarakat, membayar ganti rugi atau membaik pulih kerosakan yang telah dilakukan.

“Kadang-kala kesan buruk dari sudut psikologi yang dihadapi oleh kanak-kanak kerana melalui proses perundangan akibat daripada melakukan kesalah-kesalahan kecil adalah lebih teruk daripada kesalahan itu sendiri.

“Justeru, inisiatif seperti diversion perlu dipertimbangkan sebagai kaedah rehabilitasi alternatif,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena lawatan beliau ke Sekolah Tunas Bakti (L) Sungai Besi, dekat sini hari ini.

Tambah beliau, di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 yang dipinda pada 2016 turut memperuntukkan perihal kanak-kanak yang tidak terkawal dan yang berkonflik dengan undang-undang negara hendaklah diberi penjagaan, pemulihan, pembangunan dan penintegrasian sebaik mungkin.

Kanak-kanak tersebut katanya, memerlukan bimbingan khusus dan pemantauan berterusan bagi memastikan mereka dapat mengikuti progarma pemulihan yang boleh membantu mereka membetulkan kesilapan yang telah dilakukan. – MalaysiaGazette