Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah bimbang cara pembelian rumah mengikut cara pendanaan awam (crowdfunding) mungkin menjeremus seseorang ke dalam keadaan
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah bimbang kaedah pembelian rumah mengikut cara pendanaan awam (crowdfunding) mungkin menjerumus seseorang ke dalam keadaan “hutang berganda”.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah, Tan Chong Leng berkata, pembeli juga mungkin tidak mampu untuk membeli rumah yang diduduki selepas lima tahun selain gagal melangsaikan hutang perumahan.

Beliau berkata, masih terdapat persoalan mengenai konsep pendanaan awam yang memerlukan penjelasan pihak berkenaan.

Beliau berpendapat, konsep itu hanya bertujuan membantu pemaju menjualkan rumah yang tidak terjual.

Jelasnya kepada Sinchew Daily, pembeli rumah yang mahu membeli rumah yang didudukinya selepas lima tahun perlu membuat pinjaman semula.

“Walaupun pembeli rumah pada permulaan hanya perlu membayar 20 peratus untuk memiliki rumah, tetapi 20 peratus ini juga perlu diperoleh melalui pinjaman bank.

“Pinjaman 20 peratus mungkin tidak dapat diselesaikan selepas lima tahun dan pembeli juga perlu membuat pinjaman sekali lagi untuk membeli baki 80 peratus.

“Perlu diingatkan juga bahawa harga rumah mungkin menjadi lebih mahal selepas lima tahun,” katanya kepada Sinchew Daily.

Menurutnya, adalah lebih baik untuk kerajaan meminta pemaju membina rumah mampu milik daripada memperkenalkan konsepĀ crowdfunding.

Chong Leng berkata, jika sebuah rumah dijual RM500,000, bayaran 20 peratus ialah RM100,000 dan tidak disertakan kadar bunga, satu jumlah yang mungkin sukar dilunaskan dalam tempoh lima tahun jika pinjaman dibuat daripada bank.

“Jika harga rumah melonjak kepada RM650,000 selepas lima tahun, pembeli yang sedang menanggung hutang pertama perlu memohon pinjaman baharu jika dia mahu membeli baki 80 peratus.

“Jika pembeli tidak mampu membeli rumah yang diduduki selepas lima tahun, keadaan ini mungkin menyebabkan dia berhutang dan tidak berumah,” katanya.

Tegasnya, mereka yang membeli rumah secara “memaksa diri” bukan sahaja perlu berhutang malahan tidak mendapat apa-apa pada akhirnya.

Menurut konsep pendanaan awam, pembeli rumah boleh menduduki satu rumah dengan hanya membayar 20 peratus bayaran, tetapi perlu memilih untuk menjualkannya atau mengekalkannya selepas lima tahun. – MalaysiaGazette