Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

BANGI – Cadangan untuk melancarkan Tawaran Syiling Permulaan (ICO) dan menerbitkan Harapan Coin sebagai mata wang kripto kebangsaan adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh kerajaan.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penggunaan atau pelaburan mata wang kripto masih tidak diiktiraf dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia dan seterusnya memberi risiko tinggi kepada pelabur.

“Harapan Coin mungkin boleh jadi bahan spekulasi dan memberi kesan buruk kepada pelabur-pelabur tambahan pula matawang kripto di negara ini tidak mempunyai kawal selia sedangkan semua pelaburan kewangan perlu dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.

“Saya dimaklumkan syiling Pakatan Harapan ini telah pun dibuat dan saya anggap ia adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh kerajaan keerana menjual satu benda yang tidak diiktiraf oleh Bank Negara,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri program Bicara Santai: Pemerkasaan Belia di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

MGF16112018_Bicara Santai_02
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bercakap pada Program Bicara Santai ‘Pemerkasaan Belia’ di Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 16 NOVEMBER 2018

Beberapa hari lalu, Menteri Wilayah, Khalid Abd. Samad berkata, cadangan untuk menjadikan Harapan Coin sebagai mata wang kripto kebangsaan dan digunakan dalam pentadbiran kerajaan pada masa hadapan tetap diteruskan.

Kenyataan tersebut bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi negatif daripada pelbagai pihak kerana mata wang kripto masih belum diiktiraf di negara ini.

Sementara itu, menyentuh mengenai cadangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman yang mahukan syarikat milik kerajaan (GLC) melantik orang muda sebagai ahli lembaga pengarah, Khairy berkata, kedudukan tersebut mempunyai tanggungjawab yang amat besar dan memerlukan individu yang kaya pengalaman dan kelayakan.

“Ahli lembaga pengarah mempunyai tugas fidusiari iaitu melibatkan hubungan di antara pemegang amanah dan pihak yang berkepentingan termasuklah pemegang saham.

“Untuk berada di kedudukan ini, ahli lembaga pengarah perlulah seseorang yang mempunyai pengalaman luas dan berkelayakan. Saya tidak kata orang muda tidak berpengalaman tetapi beliau perlu faham tanggung jawab besar yang dipegang oleh seorang ahli lembaga pengarah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette