Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

KUALA LUMPUR – Polis Selangor mengklasifikasikan semula kes Muhammad Adib Mohd Kassim di bawah Seksyen 302  Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab dalam satu kenyataan berkata, terdahulu kes tersebut diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh, bagaimanapun pihaknya telah mengklasifikasi semula kes tersebut berikutan kematian anggota bomba itu pada pukul 9.41 malam tadi

“Kes cuba bunuh di bawah 307 Kanun Keseksaan ekoran kecederaan yang dialami oleh anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim 24 tahun di Seafield Subang Jaya pada 26 November lalu telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya.

Muhammad Adib cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 26 November lalu. – MalaysiaGazette