Perakan gambar ini berada pada jarak terlalu dekat dengan Syed Saddiq yang sedang mengisi petrol dalam keretanya.
Perakan gambar ini berada pada jarak terlalu dekat dengan Syed Saddiq yang sedang mengisi petrol dalam keretanya.

KUALA LUMPUR – Petronas Brands menerusi akaun Twitternya mengingatkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar berhati-hati ketika mengisi petrol dalam keretanya.

Menurut Twitter itu, Syed Saddiq tidak sepatutnya membenarkan sesiapa pun termasuk rakannya mengambil atau merakam gambar menggunakan peralatan yang boleh mencetuskan kebakaran seperti telefon bimbit berdekatan dengan pam petrol.

Ini bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini berikutan peralatan yang boleh mencetuskan kebakaran amat sensitif dengan bahan api seperti petrol.

Petronas Brands mengeluarkan kenyataan dalam bentuk nasihat atau peringatan berikutan tular sekeping gambar yang memaparkan Syed Saddiq sedang mengisi minyak petrol dalam keretanya di sebuah stesen Petronas.

Bawah gambar itu ditulis kapsyen, “Menteri drive (pandu) sendiri (kereta), boleh claim minyak tak? Going to Cameron as Ketua Pemuda Harapan tanpa jentera kerajaan”.

Kapyen itu dimuatnaik penama akaun Twitter @teamsaddiq yang hendak memberitahu kepada umum, Menteri Belia dan Sukan itu sanggup memandu sendiri keretanya ke Cameron Highlands untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Motif kepada gambar itu juga, @teamsaddiq hendak memberitahu, kononnya Syed Saddiq tidak menyalahgunakan kenderaan kerajaan dalam kempen parti politik.

Namun, niat baik @teamsaddiq mendapat perhatian serius Petronas Brand yang bimbang gambar itu diambil menggunakan telefon bimbit dari jarak dekat kerana ia sangat bahaya kepada keselamatan menteri berkenaan dan orang ramai.

“Keselamatan adalah keutamaan kami untuk kesejahteraan semua. Peringatan harus diberi demi keselamatan.

“Jika benar gambar diambil dari jarak yang selamat atau diambil oleh peralatan yang tidak mencetuskan kebakaran, tetapi kita masih perlu berhati-hati,” kata Petronas Brands.

Di akhir peringatan itu, Petronas Brands turut mengucapkan terima kasih kepada Syed Saddiq kerana singgah di stesen Petronas.

“Terima kasih singgah stesen Petronas! Walaubagaimanapun, keselamatan tetap diutamakan. Jangan guna telefon bimbit berdekatan pam minya ya. Terima kasih juga kepada semua yang sangat prihatin!” tulis Petronas Brands. – MalaysiaGazette