Sebahagian pengundi beratur bagi membuang undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 26 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Datuk Seri M. Saravanan mengangkat pengundi kaum India sebagai juara dan pahlawan Barisan Nasaional (BN) kerana menerima dan mengiktiraf calon Melayu Orang Asli yang diletakkan pada Pilihan Raya Kecil di sini hari ini.

Timbalan Presiden MIC itu berkata, walaupun MIC melepaskan kerusi tradisinya itu secara sukarela atas semangat setiakawan BN yang terjalin sejak zaman kemerdekaan, formula baharu meletakkan calon langsung yang tidak berparti telah memberi kejayaan.

“Ini berlaku atas sokongan penuh pengundi India yang menerima keputusan MIC dan BN untuk menurunkan calon Ramli Mohd Noor sehingga memenangkan beliau dengan undi besar.

“Setinggi penghargaan saya rakamkan kepada pengundi India di Cameron, mereka matang dan masih teguh bersama MIC dan BN,” katanya.

Ditanya apakah MIC akan mengambil balik semula kerusi itu ekoran kejayaan mempertahankannya dalam genggaman untuk kali kelima berturut-turut, beliau berkata, itu bukan niat MIC.

“Yang penting bukan seperti Pakatan Harapan memberi janji palsu, yang penting bukan minta balik kerusi sebaliknya kami perlu fokus menunaikan janji PRK kecil in.

“Kami tidak bergaduh seperti PH. Kami sudah reform dan bersatu teguh dan sebab itulah kali ini formula kami di bawah Mohamad Hassan berjaya memberi hasil besar kekalkan kerusi ini.

“Walaupun sebelum ini hanya kerusi tradisi MIC dan parti MIC bertanding tetapi kali ini kita sedia berkongsi dan formula berjaya, maka tanggungjawaab kita bukan bincang ambil balik kerusi tapi tunaikan janji kepada pengundinya,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan