Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan kontrak China Communications Construction Group Ltd (CCCC) sebagai pemaju projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dalam mesyuarat Kabinet dua hari lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Jemaah Menteri selepas kerajaan tidak mampu menanggung kadar faedah projek tersebut hampir RM500 juta setahun.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun kerajaan perlu membayar pampasan tetapi keputusan itu adalah terbaik kerana kos pembinaan ECRL adalah besar dan tidak mampu ditanggung pada kedudukan kewangan semasa kerajaan.

“Setelah diteliti dan diperhalusi, kerajaan dapati kos untuk ECRL terlalu besar. Kerajaan tidak ada kemampuan untuk meneruskannya.

“Jika projek ini tidak ditamatkan, kadar faedah yang perlu dibayar kerajaan hampir setengah bilion ringgit.

,” katanya selepas merasmikan Anugerah Kecemerlangan dan Mesyuarat Agung Perwakilan ke-20 Silat Cekak Hanafi di sini.

Azmin berkata, keputusan yang diambil itu tanpa menjejaskan hubungan baik Malaysia dengan China.

Beliau berkata, meskipun ada cadangan supaya kos projek keretapi yang menghubungkan Lembah Kelang dan Pantai Timur itu disemak semula tetapi angkanya masih besar.

Kos bagi ECRL dengan jajaran sepanjang 688.3 kilometer itu menelan perbelanjaan sebanyak RM81 bilion selepas disemak semula oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Sebelum itu, kerajaan Barisan Nasional menyatakan projek ECRL bernilai RM66 bilion.

Tambah beliau, jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada CCCC sedang diteliti oleh Kementerian Kewangan yang melaksanakana kajian kewajaran bagi memastikan kos tidak membebankan kewangan negara.

Azmin berkata, setakat ini pemaju baharu untuk projek berkenaan belum diputusan tetapi bersedia menerima sebarang bentuk pelaburan.

“Kerajaan sentiasa menilai permohonan pelaburan baharu, bukan sahaj ECRL untuk mengekalkan pelaburan asing supaya dapat mengukuhkan ekonomi dan memberi peluang pekerjaan. Kita juga galakkan pelaburan tempatan,” ujarnya.

Kerja-kerja pembinaan jajaran ECRL telah digantung pada 4 Julai lalu selepas menerima arahan daripada Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL). – MalaysiaGazette