Jabatan Perhutanan Perak menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berlaku sebarang unsur ugutan ke atas Orang Asli Kampung Tasik Cunex di Gerik ketika sesi pertemuan bersama komuniti itu baru-baru ini.
Jabatan Perhutanan Perak menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berlaku sebarang unsur ugutan ke atas Orang Asli Kampung Tasik Cunex di Gerik ketika sesi pertemuan bersama komuniti itu baru-baru ini.

IPOH – Jabatan Perhutanan Perak menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berlaku sebarang unsur ugutan ke atas Orang Asli Kampung Tasik Cunex di Gerik ketika sesi pertemuan bersama komuniti itu baru-baru ini.

Pengarah Perhutanan Negeri Perak Datuk Mohamed Zin Yusop berkata kehadiran pihaknya ke kampung itu bagi memberi penerangan kepada penduduk mengenai aktiviti pembalakan di kawasan berdekatan.

“Saya mengambil maklum dakwaan oleh penduduk Orang Asli di Gerik itu yang mendakwa mereka telah diugut oleh Jabatan Perhutanan Negeri susulan tindakan mereka membina halangan sebagai protes kepada aktiviti pembalakan berhampiran tempat tinggal mereka.

“Hasil siasatan mendapati, pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah bertemu dengan komuniti Orang Asli di situ baru-baru ini bagi memberi penerangan mengenai akiviti pembalakan di kawasan berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas lanjut laporan sebuah portal media menyatakan penduduk Orang Asli berkenaan mendakwa kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) telah menceroboh kawasan tanah adat mereka untuk aktiviti pembalakan sejak 18 Jan lalu.

Penduduk Orang asli itu juga turut mendakwa diugut pihak syarikat dan Jabatan Perhutanan Perak susulan membuat sekatan dengan menutup laluan utama lori balak.

Mohamed Zin berkata sepanjang berurusan dengan bantahan oleh komuniti Orang Asli di Perak, Jabatan Perhutanan Negeri tidak pernah menggunakan sebarang ugutan atau kekerasan ke atas mana-mana pihak.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya sedia memberikan kerjasama untuk membantu siasatan susulan laporan polis yang telah difailkan oleh wakil komuniti Orang Asli kampung berkenaan.

“Untuk makluman kawasan pembalakan yang diluluskan adalah kawasan Hutan Simpan Air Chepam dan bukannya terletak dalam kawasan tanah adat seperti yang didakwa oleh komuniti Orang Asli Tasik Cunex.

“Sebagai makluman juga, negeri Perak juga mematuhi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara iaitu seluas 7,744 hektar setahun dengan mengamalkan pembalakan terpilih atau ‘selective logging’ di mana hanya pokok-pokok yang menepati piawaian dibenarkan ditebang selepas melalui proses ‘tagging’,” katanya.

Justeru, beliau berkata dakwaan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) kononnya aktiviti pembalakan di Perak tidak terkawal adalah tidak berasas sama sekali.

Terdahulu, Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata pihaknya kecewa dengan tindakan itu dan sedang berusaha untuk membawa perkara itu kepada kerajaan pusat iaitu kepada menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Orang Asli serta peguam negara untuk tindakan segera.

— BERNAMA