Marzuki Yahya
Marzuki Yahya

KUALA LUMPUR – Selepas beberapa individu membuat pendedahan kelulusan pendidikan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya di Universiti Cambridge, hari ini dapat berlaku perubahan pada kategori pendidikannya di laman Wikipedia.

Menurut blogger AbuLeman, jika sebelum ini Marzuki mendakwa mendapatkan ijazah sarjananya di Universiti Cambridge di England, maklumat itu telah diubah kepada Universiti Antarabangsa Cambridge yang terletak di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun dedah beliau, alamat lengkap universiti tersebut tidak dapat diperolehi di laman web yang dikongsikan.

Dakwa beliau, selain banyak kandungan di dalamnya yang mencurigakan, laman web itu juga hanya menggunakan platform wordpress.

“Tidak, tidak selayaknya satu institusi yang besar dan gah melainkan jika ia adalah satu ‘scam’ atau satu platform menjual sijil akademik palsu,” katanya menerusi tulisan beliau dalam blognya hari ini.

Semalam, Marzuki menjawab pendedahan itu dengan berjanji akan mengemukakan sijil ijazah aslinya sebagai bukti beliau adalah graduan dari Universiti Cambridge, namun sehingga kini belum ada apa-apa khabar berita berkenaan hal itu.

Sebelum ini, beliau mengisytiharkan mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di Universiti Cambridge, United Kingdom, iaitu Bachelor’s Degree in Business Administration from the University of Cambridge, yang diambil secara jarak jauh.

Namun, pihak universiti itu telah menafikan tidak menawarkan sebarang pengajian jarak jauh bagi sebarang pengajian ijazah seperti yang didakwa oleh Marzuki.

Menjawab tuduhan itu, Marzuki yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tampil menafikan yang beliau menipu latar belakang pendidikannya seperti mana didakwa segelintir pihak.

Dalam masa sama tegasnya, beliau enggan melayan dakwaan tidak berasas seperti itu dan  menyerahkan kepada polis untuk menyiasat perkara tersebut.

Sebelum ini, seorang pengguna laman Facebook mempersoalkan kesahihan kelulusan akademik Marzuki yang mengaku mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti of Cambridge.

Malah timbalan menteri itu dilaporkan berkata, pihaknya akan mengemukakan bukti bahawa beliau pernah mengikuti kursus dalam bidang itu di universiti berkenaan. – MalaysiaGazette