Isham Jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak menang kes saman Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) hari ini.

Isham Jalil berkata, keputusan Mahkamah Tinggi membicarakan kes SYABAS menyamannya kerana menulis artikel mengkritik perkhidmatan air di Selangor itu.

SYABAS kini ditukar nama Syarikat Air Selangor.

“Saya telah menyatakan kepada mahkamah bahawa saman SYABAS ke atas saya ini adalah tidak berasas dan bermotifkan politik sebab saya selalu mengkritik kerajaan negeri Selangor dengan membawa isu-isu rakyat.

“Saya berpendapat saman ini adalah cubaan untuk menutup mulut saya daripada terus bersuara mengkritik kerajaan untuk rakyat.

“Saya rasa kerajaan negeri dan agensi mereka tidak tahan dengan suara dan fakta saya lantas cuba menyenyapkan saya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Isham, Mahkamah Tinggi telah bersetuju dengan hujahnya dan menolak permohonan plaintif iaitu SYABAS dengan kos.

Sebagai seorang rakyat Selangor, beliau rasa bertanggungjawab untuk membawa isu dan masalah rakyat supaya kerajaan boleh memperbaiki mutu perkhidmatan.

“Sekiranya kerajaan atau syarikat mereka tidak boleh ditegur ke atas perkhidmatan yang kurang memuaskan maka tidak akan ada semak imbang kerajaan yang berkesan dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat akan menjadi teruk,” kata Isham.

Beliau juga bersedia sekiranya SYABAS dan kerajaan negeri membuat rayuan berkenaan kes itu ke Mahkamah Rayuan selepas ini namun Isham bersedia untuk berhadapan dengan mereka.

Dalam pada itu, Isham juga meramalkan tarif air di Selangor akan naik selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih nanti.

Selepas PRK Semenyih, tarif air akan dinaikkan oleh kerajaan untuk menanggung kos pembelian syarikat air SPLASH bernilai kira-kira RM2 bilion yang dianggapnya melampau.

“Dan rakyat yang terpaksa menanggung kos ini dengan membayar tarif air yang lebih tinggi di Selangor,” katanya.

Lagi pun, menurut Isham, negeri-negeri di bawah Pakatan Harapan lain sudah menaikkan tarif air selepas PRU-14 dan kini tiba masa untuk Selangor.

“Sudahlah perkhidmatan air masih tidak bermutu dengan bekalan air yang kerap terputus dan kualiti yang dipersoal, kini mereka ingin naikkan tarif air di Selangor pula,” katanya.- MalaysiaGazette