Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. foto SYAFIQ AMBAK, 04 DISEMBER 2018
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. foto SYAFIQ AMBAK, 04 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan tidak tahu menahu tentang lawatan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang ketika ini berada di Turki.

Menterinya, Lim Guan Eng menjelaskan ini kerana lawatan itu bukan diluluskan oleh kementeriannya sebaliknya Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia.

Totalisator Malaysia merupakan syarikat di bawah Kementerian Kewangan.

Mengulas lanjut, Guan Eng turut memberitahu, kementerian tidak pernah memberi bantuan kewangan pun kepada Totalisator Malaysia sebaliknya syarikat itu mendapat dana dari syarikat nombor ramalan.

Beliau berkata, pihaknya akan menilai semula tentang keperluan untuk meluluskan lawatan seumpama itu pada masa hadapan.

“Prosedur sekarang adalah selagi ada kelulusan lembaga pengarah, mereka tidak perlu rujuk kepada kementerian.

”Selepas ini kita hendak tengok semula sama ada perlu Totalisator Malaysia mendapat kelulusan untuk lawatan seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan cek peruntukan bernilai RM50 juta kepada sekolah tahfiz berdaftar yang disampaikan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof di kementeriannya di sini hari ini.

Guan Eng diminta mengulas tentang isu lawatan delegasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai oleh Mohamad Fuzi dalam salah satu usaha untuk menangani masalah perjudian online.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah meluluskan lawatan berkenaan yang ditaja oleh Lembaga Totalisator Malaysia iaitu agensi di bawah Kementerian Kewangan.

Muhyiddin berkata demikian bagi menafikan dakwaan portal Sarawak Report bahawa lawatan tersebut adalah tanda terima kasih terhadap jasa-jasa pegawai tinggi polis yang menyertainya.

Portal Sarawak Report pada dua hari lalu melaporkan bahawa beberapa pegawai tinggi PDRM termasuk Ketua Polis Negara pergi ke Turki atas tujuan peribadi.  – MalaysiaGazette