Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan melancarkan satu
Yeo Bee Yin

PUTRAJAYA –  Lynas boleh terus beroperasi di Malaysia jika ia memenuhi semua syarat keselamatan dan kebersihan alam yang ditetapkan.

Syarikat itu bagaimanapun mesti mengeluarkan segala sisa dari negara ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, kerajaan bertegas dalam soal sisa dan satu-satunya perkara yang kerajaan boleh bertolak-ansur dengan Lynas ialah dari segi dokumentasi penghantaran sisa.

Beliau menjelaskan, keadaan itu bermakna kerajaan akan membantu Lynas  untuk mendapat semua kelulusan yang diperlukan untuk menghantar sisa dari Malaysia.

“Jika Lynas dapat memenuhi syarat yang ditetapkan dan kehadirannya tidak menimbulkan rasa tidak tenteram rakyat, maka Lynas seperti juga dengan pelabur asing lain boleh terus berada di Malaysia, ” kata Bee Yin kepada Sinchew Daily.

Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, Lynas telah mengirim surat rayuan mengenai syarat penghantaran keluar sisa, tetapi kerajaan tidak bercadang mengubah keputusan yang telah dibuat berhubung perkara itu.

Katanya lagi, satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk memastikan Lynas dapat menghantar keluar semua sisanya dalam tempoh sembilan bulan.

“Banyak dokumen diperlukan untuk membolehkan penghantaran sisa ke Australia. Cabaran sekarang ialah sama ada semua dokumen boleh disediakan dalam tempoh sembilan bulan.

“Mengenai persoalan sama ada Australia bersedia menerima sisa yang ditolak Malaysia, ini merupakan urusan Lynas dan Australia,” katanya.

Menurutnya lagi, keengganan Lynas untuk memberi kerjasama kepada kerajaan hanya akan menegangkan hubungan dua pihak.

Dalam isu berlainan, Bee Yin berkata, Pusat Perubahan Iklim ditubuhkan tahun ini untuk menganalis data dan impak jangka panjang perubahan cuaca kepada Malaysia.

“Fokus tahun ini ialah implikasi peningkatan paras laut akibat perubahan Iklim ke atas keluasan tanah dan bagaimana kemudahan infrastruktur harus ditambah baik untuk menghadapi apa yang mungkin berlaku.

“Kita harus melihat perkara ini mulai sekarang kerana sebagai contoh, banyak stesen jana kuasa adalah terletak di kawasan persisir pantai pada masa ini,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. It is incredible how one-sidedly and almost obsessively the most modern rare earths production facility outside China is being tackled. Malaysia has much more serious problems….e.g. destruction of rainforests for palm oil plantations

Comments are closed.