Ringgit gagal mengekalkan kenaikannya semalam apabila dibuka rendah pagi ini berbanding dolar AS apabila para pelabur beralih kembali kepada aset lebih berisiko, kata para peniaga.
KUALA LUMPUR – Ringgit pulih dari kerugian untuk ditutup lebih kukuh berbanding dolar US hari ini, selepas sentimen pasaran kekal positif di tengah-tengah rundingan perdagangan membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pada penutup, nilai ringgit meningkat 50 mata asas kepada 4.0780/0830 berbanding dolar US daripada 4.0830/0880 yang direkodkan semasa Isnin.

Menurut seorang peniaga, jangkaan keadaan perdagangan yang lebih baik telah mendorong selera risiko pelabur, mengakibatkan permintaan yang lebih tinggi bagi mata wang pasaran baru muncul yang lebih berisiko seperti ringgit berbanding mata wang selamat seperti dolar US.

“Suasana yang lebih positif telah mengimbangi kesan daripada penyusutan harga minyak mentah,” katanya.

Rundingan perdagangan antara AS – China pada minggu lepas di Beijing dilaporkan berjalan lancar dan perbincangan tersebut akan bersambung di Washington lewat hari ini.

Penanda aras minyak mentah Brent didagangkan pada US$66.32 setong sehingga 6.12 petang tadi, turun 27 peratus daripada harga terakhir.

Pada penutup, ringgit juga diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0052/0093 daripada 3.0100/0145 dan melonjak berbanding pound British kepada 5.2680/2761 daripada 5.2724/2797.

Berbanding yen, unit tempatan itu bertambah nilainya kepada 3.6812/6867 daripada 3.6934/6982 sebelum ini, manakala berbanding dengan euro, ia diperkukuhkan kepada 4.6085/6158 daripada 4.6195/6264. – MalaysiaGazette