Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak bertanya mengapa Pakatan Harapan (PH) menyerangnya sedangkan beliau bukan calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Semenyih,

Menurutnya lagi, beliau juga bukan lagi Presiden UMNO dan BN.

“Buat apa nak serang saya,” soal Najib.

Secara sinis, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau ke Semenyih untuk membeli sedikit barang di Tesco dan sekali-sekala ‘test’ mikrofon.

“Itupun PH mahu panas tiap-tiap hari,” katanya sambil berkata, kalau panas di Semenyih ada air terjun.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Kecil Semenyih, Najib berkata, beliau tidak nampak janji-janji PH yang ditabur kepada pengundi termasuk janji yang digunakan oleh gabungan parti kerajaan itu semasa menyerangnya lima tahun lalu.

Ini bermakna, katanya, tindakan PH menyerangnya setiap hari lima tahun dulu tidak bermakna ekonomi akan bertambah baik atau agama telah dipertahankan.

Malah, serangan yang dibuat ke atas Najib selama ini tidak bermaksud kos sara hidup rakyat akan turun.

“Menyerang saya tiap-tiap hari tidak bermaksud sijil-sijil tipu menteri tiba-tiba menjadi sahih. Atau menteri-menteri mereka tidak lagi menjadi bahan jenaka untuk menghiburkan rakyat tiap-tiap hari.

“Menyerang saya tiap-tiap hari tidak bermaksud janji-janji mereka telah ditepati dan bukanlah lagi capati free yang dihidang kepada rakyat tiap-tiap hari,” katanya. – MalaysiaGazette