Calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali bersama isterinya, Nurul Filzah Bakhtiar (dua kiri) bertanyakan khabar dengan pesakit kanser, Norhayati Mahmud (tengah) pada Ziarah Ke Rumah Asnaf sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Rumah Murah PKNS, Semenyih. foto SYAFIQ AMBAk, 21 FEBRAURI 2019

SEMENYIH – Muhammad Aiman Zainali berjanji tidak akan meminggirkan sesiapa sahaja yang mahu berjumpa dengannya sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.

Malah, calon Pakatan Harapan (PH) itu memberi jaminan tidak ada sebarang protokol untuk rakyat di kawasan itu untuk bertemu dengannya.

“Saya seorang yang mudah didekati, jika terjumpa tepi jalan dan ingin mengemukakan aduan, panggillah saya. Saya tidak akan meminggirkan mereka. Itu jaminan saya.

“Yang mengenali saya, mereka sudah tahu yang mereka boleh datang kepada saya kerana itu adalah tugas saya untuk berkhidmat kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan mesra di Taman Semenyih Indah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Aiman yang juga Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Langat rasa lebih selesa disapa penduduk di kawasan Semenyih dengan panggilan nama tanpa perlu meletakkan darjat yang tinggi.

“Ada yang panggil saya tuan tapi saya akan minta mereka terus panggil saya Aiman kerana saya mahu mereka rasa lebih selesa dengan saya,” ujarnya.

Tambah beliau, setakat ini sokongan yang diberikan oleh penduduk di kawasan tersebut semakin kuat dan Aiman yakin kemenangan akan memihak kepadanya. – MalaysiaGazette