ALOR SETAR – Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita Rohingya selepas disyaki menculik seorang wanita Indonesia berusia 20-an di rumah sewanya di Jalan Kuala Ketil, dekat Sungai Petani, 20 Feb lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata, tangkapan terhadap kesemua suspek berusia 28 hingga 36 tahun itu dibuat sehari selepas kejadian susulan laporan oleh suami mangsa yang juga warga negara Myanmar berusia 30-an.

Katanya, bertindak atas laporan dan maklumat risikan yang dijalankan, pihaknya melakukan serbuan di hadapan kedai makan di Jalan Kuala Ketil-Merbau Pulas kira-kira pukul 12 tengah hari, 21 Feb dan menahan seorang suspek.

“Berpandukan tangkapan itu, serbuan seterusnya dibuat di sebuah rumah di Kampung Pantai Chicar, Kuala Ketil dan berjaya menahan seorang lagi suspek wanita sebelum menemui mangsa dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan atas dirinya.

“Seorang lagi suspek lelaki menyerah diri dan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Polis kemudian merampas sebuah telefon bimbit, kad sim dan kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) daripada semua suspek dan mereka ditahan reman sehingga 2 Mac ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek melakukan jenayah itu bertujuan untuk mendapatkan wang daripada mangsa, namun siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.

Kesemua suspek yang bekerja sebagai buruh binaan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksan kerana menculik dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga tujuh tahun dan denda. – MalaysiaGazette