KUALA LUMPUR – Pemansuhan tol yang disebut oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam janji manifesto sepatutnya membawa maksud bayaran tol dihapuskan dan bukan diberi makna baharu kepada ‘caj kesesakan’.

Oleh itu, kerajaan PH diminta tidak memberi pelbagai helah lagi dalam melaksanakan janji untuk memansuhkan tol dengan memperkenalkan formula gantian.

“Bagaimana caj kesesakan yang perlu dibayar sama seperti tol boleh digelar ‘pemansuhan tol’?.

“Mengikut kefahaman rakyat kalau tol dimansuhkan ertinya rakyat tidak perlu membayar sebarang wang (tol) semasa menggunakan lebuhraya pada setiap masa.

“Jikalau PH “memansuhkan” tol tetapi rakyat tetap perlu bayar caj kesesakan, itu BUKAN “pemansuhan” namanya! Faham tak? soal Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Presiden MCA itu mempersoalkan mengapa cadangan untuk mengambil alih empat lebuh raya dilakukan ketika dalam ‘mood’ Pilihan Raya Kecil di Dewan Undangan Negeri Semenyih.

Malah, kerajaan turut dipersoalkan di mana dapatan kajian komprehensif Jabatan Kerja Raya atau Lembaga Lebuh Raya Malaysia mengenai cadangan pelaksanaan caj kesesakan itu atau adakah kerajaan sudah membuat konsultasi orang ramai.

Walaupun Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Sim Tze Tzim mempertahankan cadangan kerajaan untuk melaksanakan caj kesesakan dengan mengambil contoh Singapura, namun hujah Ka Siong, republik itu telah melakukan penelitian.

Semalam, Sim mendakwa caj kesesakan telah dilaksanakan di banyak negara di dunia yang telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan di beberapa negara seperti di Singaura, Londo, Hong Kong dan Tokyo, justeru ia tidak sukar untuk dilaksanakan di Kuala Lumpur.

“YB ada menyebut beberapa buah negara luar yang patut dicontohi seperti Singapura tetapi tahukah YB bahawa mereka melakukan penelitian yang begitu serius dan mendalam sebelum membuat keputusan?

“Saya sudah katakan sebelum ini, Singapura membuat kajian rapi dengan menetapkan daerah perdagangan sentral (CBD) dan Restricted Zone (RZ) & Electronic Road Pricing (ERP). Apa yang kerajaan PH lakukan sebelum membuat keputusan? Sila perincikan!,” kata Ka Siong yang memiliki Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Pengangkutan dan tesis Doktor Falsafah dalam Perancangan Pengangkutan.

Ka Siong berkata, Sim tidak usah menegakkan benang yang basah dengan berterusan memperbodohkan rakyat.

Sepatutnya, kata Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, jika Pakatan Harapan tidak mampu untuk melunaskan manifesto jangan sesuka hati berbuat janji. – MalaysiaGazette