Seorang peserta yang membawa poster yang tertera " Justice For Adib" pada Himpunan Justice 4Adib di Dataran Seni, Klang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 25 DISEMBER 2018

SHAH ALAM – Saksi ke-19 memberitahu Mahkamah Koroner beliau nampak sekumpulan perusuh menyerang trak bomba dan van EMRS ketika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas pada malam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman.

Chan Wei Jie berkata, pada masa yang sama ketika itu kira-kira 10 orang perusuh memanjat dan memukul kereta kancil yang dipandunya dengan kayu sehingga semua tingkap kenderaan milik bapa saudaranya itu pecah.

Pemuda berusia 24 tahun itu memberitahu, semasa kejadian beliau dalam perjalanan pulang ke rumahnya di USJ12 dari USJ16 namun terperangkap dalam kesesakan lalulintas akibat rusuhan.

“Lebih kurang pukul 1.15 pagi, saya tersekat dalam keadaan jalan sesak pada masa itu. Saya lihat ada beberapa orang memukul trak dan van.

“Pada mulanya mereka menyuruh kami memberhentikan kereta kerana pak cik saya mula menghidupkan enjin keretanya. Ada juga yang mengarahkan kami pergi. 

“Kemudian saya keluar kerana cermin pecah akibat dipukul perusuh. Saya keluar nak bersihkan serpihan cermin dan duduk di tepi jalan, pak cik saya masih berada dalam kereta. Semua tingkap pecah, lampu kereta dipecahkan,” katanya.

Beliau adalah antara saksi yang dipanggil bagi prosedur inkues siasatan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Meneruskan keterangan, Wei Jie berkata, seorang perusuh mengarahkan rakannya berhenti memukul kereta Kancil setelah mendengar perbualan mereka dalam bahasa Mandarin.

“Bila saya mula berkomunikasi dengan pak cik saya, salah seorang daripada kumpulan itu menyuruh yang lain berhenti memukul kereta pak cik saya.

“Tidak pasti kenapa tapi kami bercakap dalam Mandarin,” katanya lagi. 

Katanya, selepas berhenti memukul kenderaannya, kumpulan pneyerang itu memohon maaf dan menyarankan Wei Jie membuat laporan polis.

“Ketika kami meninggalkan kawasan, orang yang menyerang kami sebelum itu  meminta maaf. Ada di antara mereka menyarankan kami terus ke balai polis membuat laporan polis. Saya ke Balai Polis USJ15,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan