Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

KOTA BHARU – PAS tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyerang parti itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata fitnah dalam politik adalah perkara biasa.

“Sekiranya kita masih boleh pertimbangkan, kita akan jawab cara politik, tidak semestinya mengambil tindakan undang-undang.

“Bagaimanapun jika fitnah yang teruk, kita mungkin akan pertimbangkan tindakan berkenaan namun setakat ini belum ada lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat dan Surat Kepujian kepada 393 penerima itu disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, di Istana Balai Besar, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung gambar pertemuan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Datuk Seri Rameli Musa, Takiyuddin enggan mengulas lanjut.

“Kita tidak tahu perkara itu namun saya akan semak nanti. Gambar berkenaan kabur, nampak macam dia (Abdul Hadi) namun nampak juga bukan dia. Saya tidak boleh pastikan.

“Rameli memang kita kenal cuma kita tidak tahu dari segi yang dikaitkan itu memang tiada kaitan dengan kita.

“Malah Rameli juga kenal Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Pada masa sama, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu memaklumkan pihaknya yakin mampu memperoleh banyak kemenangan pada PRK sekiranya terus bekerjasama dengan UMNO. – MalaysiaGazette