Seorang Ahli PAS kelihatan di sebalik bendera PAS semasa Muktamar PAS kali ke 63 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. foto FAREEZ FADZIL, 28 APRIL 2017

KOTA BHARU – PAS hanya menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri jika ada usul undi tidak percaya di Parlimen, bukan sokongan kepada PPBM, kata Naib Presidennya, Mohd Amar Nik Abdullah.

“Mungkin perdana menteri salah faham (ketika pertemuan beliau dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Putrajaya baru-baru ini),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengurniaan bintang kebesaran bersempena ulang tahun ke-49 keputeraan Sultan Kelantan di Istana Balai Besar, hari ini.

Majlis pengurniaan darjah kebesaran, bintang, pingat dan surat Kepujian kepada 393 penerima itu disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra.

Mengulas mengenai dakwaan Mahathir bahawa kerjasama antara PAS dan Umno ketika ini tidak akan memberi sebarang manfaat pada pilihan raya umum akan datang, Amar berkata, banyak kemungkinan boleh berlaku sementara menunggu pilihan raya umum ke-15. – MalaysiaGazette